Thursday, December 22, 2005

Keputusan PMR 2005 bagaikan suatu keajaiban

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Ahamad Sipon berkata, jumlah itu meningkat sebanyak 0.7 peratus berbanding 16,312 calon atau 4.2 peratus tahun lepas.
Menurutnya, daripada jumlah calon yang mengambil sembilan mata pelajaran, 2,157 atau 9.1 peratus mendapat 9A berbanding 1,781 (7.9 peratus) pada PMR 2004 manakala bagi calon yang mengambil lapan mata pelajaran, 13,204 (4 peratus) mendapat 8A berbanding 10, 738 pelajar tahun lalu.
Bagi calon yang mengambil tujuh mata pelajaran pula, 4,740 (7.8 peratus) pelajar mendapat 7A meningkat berbanding 3,793 (6.7 peratus) tahun lalu.
``Jumlah calon yang menguasai semua mata pelajaran diambil dengan mendapat sekurang-kurangnya semua D ialah 64.9 peratus berbanding 61.9 peratus tahun lalu.
``Seperti tahun lepas, hampir kesemua calon menguasai sekurang-kurangnya satu D iaitu 99.9 peratus,'' katanya ketika mengumumkan keputusan PMR 2005, di pejabatnya, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan Malaysia, Dr. Salleh Hassan dan para pegawai kanan kementerian.
Ahamad memberitahu, pencapaian calon istimewa juga mencatatkan prestasi yang memberangsangkan dalam peperiksaan PMR tahun ini walaupun mereka mengalami pelbagai halangan.
Seramai 679 atau 96.9 peratus daripada 701 calon istimewa mendapat sekurang-kurangnya satu mata pelajaran yang melepasi tahap penguasaan minimum (gred D).
Seorang daripada mereka mendapat Gred A bagi semua lapan mata pelajaran yang diambil, seorang mendapat 7A 2B, 7A 1B (1) dan 6A 1B (1)
Pada majlis itu, Ahamad mengumumkan senarai 50 calon terbaik PMR 2005 bagi sembilan, lapan dan tujuh mata pelajaran yang diambil serta empat calon terbaik dari kalangan murid istimewa.
Rabiatul Adawiah Abdul Basir dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Jiring Kuala Terengganu, Terengganu diumumkan sebagai pelajar terbaik di kalangan calon yang mengambil sembilan mata pelajaran.
Bagi calon yang mengambil lapan mata pelajaran pula, pelajar terbaik ialah Mohd. Akmal Mohd. Shafiq Suresh dari Sekolah Menengah Alam Shah, Putrajaya manakala Tay Su Ann dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Infant Jesus Convent, Johor Bahru, Johor diumumkan sebagai calon paling cemerlang di kalangan pelajar yang mengambil tujuh mata pelajaran.
Sementara itu, Muhammad Zahari Bakar dari SMK Seri Bintang Selatan, Kuala Lumpur pula diumumkan sebagai calon paling cemerlang di kalangan murid istimewa. Beliau memperoleh kesemua A dalam lapan mata pelajaran yang diambil.
Secara keseluruhannya, Selangor mencatatkan keputusan paling cemerlang peringkat negeri walaupun tiada perbandingan secara rasmi dibuat di kalangan negeri.
Sejumlah 445,102 calon mendaftar menduduki peperiksaan PMR tahun ini dengan 92.9 peratus (413,358) adalah calon sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran, 4.2 peratus (18,584) sekolah kerajaan negeri dan tajaan badan berkanun, 2.7 peratus (12,030) calon sekolah swasta dan 0.2 peratus atau 1,130 lagi adalah calon persendirian.

Sumber: Utusan Malaysia

0 Comments:

Post a Comment

<< Home