Tuesday, September 16, 2008

BM sesuai ajar Sains, Matematik

PADA 13 September lalu, berlangsung Siri Wacana Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) selama dua jam membincangkan mengenai pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Dilaporkan ada 44 wakil dari universiti dan 32 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (Perspektif) dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mendesak agar bahasa kebangsaan dikembalikan semula dalam subjek berteraskan Sains dan Matematik pada semua peringkat pendidikan. Ketetapan juga dibuat supaya Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meletak jawatan jika gagal berbuat demikian.

Ini reaksi siri Persidangan Meja Bulat oleh Kementerian Pelajaran membabitkan pelbagai lapisan masyarakat yang dilihat cenderung meneruskan dasar PPSMI walaupun hakikatnya mendapat bantahan banyak pihak. Walhal, banyak kajian akademik dari dalam dan luar negara serta pengalaman negara kita sendiri sepanjang sebelum dasar ini dijalankan termasuk sistem yang diguna pakai pada peringkat antarabangsa membuktikan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan bukanlah kayu ukur mutlak untuk membijaksanakan rakyat. Kebimbangan banyak pihak terutama di kalangan ahli akademik ada kewajarannya. Tambahan pula, mereka bercakap atas dasar ilmiah berpandukan pemerhatian dan kajian, bukannya emosi apatah lagi anggapan dangkal semata-mata. Jika pendapat golongan bijak pandai itu masih enggan juga diterima, tidakkah seperti 'bodoh sombong' lagaknya?

Sejak dasar itu dilaksanakan mulai 2003, diuar-uarkan bahawa bilangan pelajar yang mendapat gred A dan lulus untuk subjek 'maut' itu bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2005 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 meningkat daripada tahun sebelumnya. Walhal, dalam mana-mana keputusan peperiksaan sekali pun keadaan ini adalah lumrah kerana sejajar dengan pertambahan calon peperiksaan. Sebaliknya, apa yang lebih penting ialah bagaimana pula nasib dan masa depan ratusan ribu pelajar kita yang terkandas dalam pelajaran disebabkan lemah atau gagal dalam subjek berkenaan? Kebolehan sebahagian mereka dalam Sains dan Matematik juga 'dicantas' oleh lemahnya penguasaan bahasa Inggeris yang masih menggunakan kaedah pedagogi kaku, sama seperti dulu. Analisis terhadap keputusan UPSR tahun lalu misalnya menunjukkan 146,861 murid dari sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan mendapat gred D dan E dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Ini belum ditambah dengan jumlah 144,028 murid yang memperoleh gred C. Tidakkah kita simpati bagaimana azabnya hampir 300,000 kanak-kanak harapan bangsa ini menelaah subjek Sains dan Matematik bermula di Tingkatan Satu tahun ini? Kesukaran memahami apa yang dipelajari akan menambahkan tekanan pelajar sehingga menjadi pemberontak, histeria, ponteng kelas dan pelbagai lagi bentuk gejala tidak sihat.
Tidakkah ini akan menjejaskan Falsafah Pendidikan Negara dan pembentukan modal insan cemerlang yang kerajaan laungkan selama ini? Isu PPSMI ini adalah masalah negara dan bukannya untuk dipolitikkan. Demi kebaikan jangka panjang bangsa Malaysia, sewajarnya PPSMI ditarik semula. Kembalikan peranan bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan negara yang sudah 51 tahun merdeka ini serentak dengan rombakan besar-besaran terhadap kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris. Hakikatnya, peruntukan berbilion ringgit untuk PPSMI ini tentunya tidak berbaloi jika kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penyampaian ilmu serta tidak kurang pentingnya peranan bahasa Melayu sebagai alat perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini, diabaikan. MOHD ARIF ATAN, Cheras, Kuala Lumpur.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Post a Comment

<< Home