Monday, September 22, 2008

Dua Lagi Perbincangan Isu Pembelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris

16 September, 2008 17:22 PM



KUALA TERENGGANU, 16 Sept (Bernama) -- Dua lagi perbincangan meja bulat berhubung pelaksanaan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris akan diadakan, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail.

Beliau berkata perbincangan pertama akan membabitkan guru-guru dan wakil pelajar dari pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) dan wakil institut pendidikan guru.

"Perbincangan seterusnya pula akan membabitkan ahli politik yang dipilih dari seluruh negara," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Razali yang juga Anggota Parlimen Kuala Terengganu, berkata kedua-dua perbincangan itu adalah bagi memberi satu perspektif yang luas sebelum satu dasar dapat dilaksanakan.

Keputusan sama ada pelaksanaan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris akan diumumkan Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akhir tahun ini atau awal tahun depan, katanya.

Razali berkata semua pihak seperti agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan ibubapa dan IPT perlu memikirkan kebaikan dan keburukan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris.

"Setakat ini dua rundingan meja bulat membabitkan pegawai di Kementerian Pelajaran telah dijalankan dan lebih 16 penyelidikan telah dibentangkan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa.

"Hasil lawatan ke beberapa negeri di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak baru-baru ini mendapati pemahaman murid dalam bahasa Inggeris semakin positif. Selain itu, guru-guru yang terbabit juga menunjukkan peningkatan prestasi dan kesungguhan mereka," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pandangan dan pendapat daripada pelbagai pihak untuk pelaksanaan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris terus dialu-alukan.

Ia bagi membolehkan Kementerian Pelajaran membuat satu rumusan dan keputusan yang tepat sama ada untuk melaksanakannya atau tidak, tambah beliau.

-- BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment

<< Home