Monday, September 22, 2008

Tetapkan hala tuju Sains, Matematik

17/09/2008


Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
(WARTAWAN UTUSAN)

KEPUTUSAN Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 yang akan diumumkan hujung tahun ini tidak hanya mengundang debar di kalangan pelajar yang menduduki peperiksaan itu, tetapi juga seluruh warga yang terlibat dalam sektor pendidikan.

Ini kerana selepas pengumuman keputusan UPSR itu, kerajaan akan membuat keputusan sama ada mahu mengekalkan dasar pengajian bahasa Inggeris bagi subjek Matematik dan Sains atau sebaliknya, berdasarkan penilaian pencapaian pelajar dalam peperiksaan itu sejak enam tahun lalu.

Polemik mengenai perlaksanaan dasar pendidikan itu tidak pernah sunyi daripada diperdebatkan sejak ia mula diperkenalkan pada 2003, dengan kebanyakan daripadanya membantah kerana dikatakan menyebabkan pelajar terutama pelajar Melayu tercicir akibat gagal menguasai bahasa Inggeris.

Mereka yang menentang dasar itu juga mengaitkannya dengan jati diri dan semangat nasionalisme, apabila pengajaran dalam bahasa Inggeris dilihat membelakangkan bahasa Melayu sebagai sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan.

Suara-suara yang menyokong perlaksanaan dasar itu pula mempertahankannya dengan menyatakan ia langkah terbaik dalam mempersiapkan generasi hari ini kepada cabaran pembangunan negara yang lebih hebat pada masa depan.

Apatah lagi mengenangkan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dunia, dan peranan serta kepentingannya dalam arus modenisasi hari ini, adalah wajar satu langkah diambil untuk meningkatkan penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar dengan lebih berkesan.

Pastinya dalam menimbangkan pro dan kontra serta impak negatif dan positif daripada perlaksanaan dasar pendidikan itu, kerajaan akan mengambil kira pelbagai faktor sebelum mengambil keputusan seperti yang bakal diumumkan hujung tahun ini.

Namun biar apa pun keputusannya nanti, adalah diharapkan ia tidak secara mudah menafikan peranan dan kepentingan dasar pendidikan itu apatah lagi apabila menyentuh mengenai hasrat untuk melahirkan generasi berkualiti dan mampu bersaing pada masa depan.

Sekalipun tidak dinafikan dasar itu mendapat sekian banyak kritikan, tetapi ia tidak boleh disimpulkan sebagai satu kegagalan, sementelah sepenggal perlaksanaannya masih terlalu baru.

Lalu dalam usia yang boleh disifatkan setahun jagung itu, sudah menjadi resam jika terdapat cacat cela di mana-mana, namun ia bukanlah bermaksud dasar pendidikan itu gagal sama sekali, cuma memerlukan sedikit ruang untuk diperbaiki.

Seperti yang dijelaskan oleh pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, perlaksanaan dasar pendidikan itu meskipun diakui tidak berjaya sepenuhnya dan berdepan dengan pelbagai masalah terutama di peringkat sekolah, namun wajar dipertahankan dalam konteks pembangunan kemahiran pelajar secara jangka masa panjang.

Justeru katanya, apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan ketika ini ialah menilai semula dasar tersebut dan menambah baik terutama dari sudut perlaksanaannya dengan beberapa pilihan lain yang lebih sesuai.

Beliau menambah, kerajaan dalam memperbaiki dasar itu juga perlu mempunyai perancangan yang spesifik dengan memberikan tumpuan kepada setiap kumpulan sasar pelajar seperti pelajar di bandar, di luar bandar, pelajar Melayu, Cina dan India serta di kalangan pelajar orang asli.

Dalam usaha itu, kerajaan sewajarnya memberi kepercayaan sepenuhnya kepada kumpulan akademik dan pakar pendidikan yang pastinya mempunyai pandangan dan kaedah yang lebih baik dalam menilai keberkesanan dasar tersebut sepanjang perlaksanaannya.

''Apa yang penting, dasar ini tidak seharusnya dilihat dari sudut politik, perkauman atau cubaan untuk menghakis jati diri bangsa dan budaya kebangsaan.

''Sebaliknya ia harus diterima sebagai satu persediaan kepada negara dalam mempersiapkan generasi akan datang untuk menempuh masa depan negara yang lebih mencabar," katanya.

Anuar menambah, dasar pengajian dalam bahasa Inggeris yang dilaksanakan ketika ini berdepan dengan kekeliruan kokurikulum apabila ilmu bahasa dicampuradukkan dengan ilmu matematik dan sains.

Walaupun merentasi kokurikulum, namun bagi kumpulan pelajar yang agak lemah dalam menguasai pelajaran, akan berdepan dengan kesukaran untuk menguasai ketiga-tiga ilmu itu dalam satu kelas yang sama.

Untuk itu, pelajar-pelajar perlu terlebih dahulu perlu dipastikan menguasai bahasa Inggeris di peringkat asas seperti mengikuti kelas khas sebelum subjek Matematik dan Sains digabungkan dalam pelajaran mereka.

Seperkara yang tidak boleh dilepas pandang dalam membincangkan mengenai keberkesanan perlaksanaan dasar pendidikan itu juga ialah peranan guru dalam memastikan pelajar benar-benar menguasai subjek tersebut.

Bukanlah bermaksud untuk mempertikai usaha guru yang sememangnya diketahui sanggup berkorban apa sahaja untuk kecemerlangan anak muridnya, namun adakah dalam peranan yang satu ini, usaha guru itu sudah sampai ke tahap yang sudah boleh dibanggakan?

Daripada pengalaman penulis sendiri yang pernah bergelar seorang pelajar, melainkan guru bahasa Inggeris, guru-guru subjek lain termasuklah guru Matematik dan Sains sangat jarang berbahasa Inggeris di sekolah.

Sedangkan hakikatnya, kejayaan dasar pendidikan itu bergantung sepenuhnya kepada kemampuan guru-guru dalam menguasai bahasa Inggeris, sebelum dapat mendidik pelajar-pelajar mereka.

Namun cabaran untuk menguasai bahasa Inggeris bagi guru itu sendiri bukanlah sesuatu yang mudah. Baik guru yang baru tamat pengajian di universiti, mahupun guru yang sudah bertahun-tahun mengajar, beralih menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajian yang selama ini sudah terbiasa dalam bahasa Melayu memerlukan pengorbanan, kesabaran dan kreativiti yang cukup besar.

Bertambah besar cabarannya bagi guru yang mengajar di luar bandar dan juga komuniti Orang Asli. Dengan penerimaan pelajar-pelajar yang sudah tentunya kekok, serta ibu bapa yang tidak benar-benar memahami, bukanlah sesuatu yang sukar untuk seorang guru berasa berputus asa. Dalam situasi seperti ini pelajarlah yang akan menanggung kerugian, dan guru serta dasar pendidikan itu pula akan dipersalahkan.

Perlu diakui kerajaan dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru yang mengajar kedua-dua subjek ini tampil dengan pelbagai inisiatif seperti elaun khas atau kursus dan banyak lagi.

Namun apalah yang termampu diubah oleh sekian banyak inisiatif itu jika guru berkenaan sendiri tidak mempunyai kesediaan yang tinggi untuk memperbaiki kemahiran berbahasa Inggeris sesuai dengan peranan mereka sebagai tunjang dalam menjayakan misi dasar pendidikan tersebut.

Di sinilah Anuar melihat Kementerian Pelajaran perlu lebih teliti dalam pemilihan guru untuk kedua-dua subjek tersebut. Menyifatkan kejayaan memilih guru yang benar-benar menguasai bahasa Inggeris mampu menyelesaikan separuh daripada masalah itu, beliau menambah, ia boleh dilakukan secara menilai semula latihan dan kursus perguruan sama ada di maktab atau universiti supaya mampu melahirkan guru yang menguasai sepenuhnya bahasa Inggeris. Daripada pengalaman beliau sendiri berdepan dengan bakal-bakal guru, masih ramai yang gagal berkomunikasi bahasa Inggeris dengan baik meskipun di kalangan guru lepasan jurusan Pendidikan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).

Ketika ditanya adakah wajar untuk dasar pengajian itu ditangguhkan untuk sementara sehingga masalah yang dikenal pasti dapat diselesaikan, Anuar berpendapat, tindakan itu ibarat mengambil langkah ke belakang.

Lebih lanjut beliau menjelaskan, kejayaan satu dasar apatah lagi membabitkan kemahiran seperti penguasaan bahasa Inggeris memerlukan usaha berterusan sehingga mampu menjadi budaya terutamanya di kalangan pelajar.

Justeru katanya, adalah tidak wajar sekiranya dasar tersebut dihentikan tanpa kerajaan tampil dengan pelan yang lebih baik sementelah pihak yang selama ini menentang dasar itu juga tidak tampil dengan rancangan yang lebih berkesan atau setanding dengan apa yang dilaksanakan kerajaan.

Bagaimanapun katanya, sekiranya tekanan terhadap pencapaian pelajar terus dipersoalkan, kerajaan dalam usaha memperbaiki dasar tersebut boleh menyusun semula pengajian bahasa Inggeris itu secara selektif sama ada hanya untuk subjek Matematik atau Sains, atau hanya melibatkan beberapa silibus dalam mata pelajaran berkenaan.

Apa pun pembaharuan yang bakal dilakukan dalam dasar itu katanya, tidak seharusnya membelakangkan matlamat melahirkan pelajar yang cemerlang yang mampu untuk bersaing dan berada dalam mana-mana segmen pembangunan negara pada masa depan.

Beliau turut menarik perhatian terhadap situasi yang berlaku hari ini terutamanya di kalangan pelajar Melayu yang gagal menempatkan diri dalam sektor korporat dan swasta semata-mata kerana gagal menguasai bahasa Inggeris meskipun menamatkan pengajian dengan pencapaian yang membanggakan.

Sumber : Utusan online

0 Comments:

Post a Comment

<< Home