Sunday, June 28, 2009

PPSMI: Gapena buat laporan polis

Jimadie Shah Othman Feb 15, 09 4:22pm
Badan penaung kepada persatuan penulis seluruh Malaysia, Gabungan Penulis Nasional (Gapena) hari ini membuat laporan polis berhubung pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Diiringi kira-kira 20 tokoh bahasa, Ketua 1 Gapena, Tan Sri Ismail Hussin membuat laporan tersebut tengahari ini di Balai Polis Brickfields, Kuala Lumpur. Mereka pada mulanya merancang membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang (IPD) Wangi tetapi rancangan itu ditukar di saat akhir. Dalam laporan polis itu, Ismail mendakwa pelaksanaan PPSMI "tidak sah di sudut undang-undang dan bertentangan dengan Seksyen 17(1), Akta Pendidikan 1996 dan bercanggah dengan kehendak dan tujuan Perkara 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan". Menurut laporan berkenaan, Perkara 152(1) meperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan diperuntukkan melalui undang-undang, bahawa tiada sesiapa boleh dilarang dan dihalang menggunakan (selain bagi "maksud rasmi") atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain. "Perkara 152(6) pula memperuntukkan bahasa perkara-perkara pendidikan negara, mata pelajaran utama dalam kurikulum kebangsaan yang diuruskan oleh Kementerian Pelajaran tergolong dalam kategori "maksud rasmi". "Berasaskan kepada kehendak perkara 152(1) & 6 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 17(1) Akta 550 (Akta Pendidikan 1996), adalah wajib bagi semua mata pelajaran yang diajar di semua sekolah menggunakan bahasa Melayu," laporan polis itu dipetik. Proses pertama GapenaIsmail juga mendakwa pelaksanaan dasar itu akan "membunuh bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam jangka masa yang panjang". Beliau ditemani setiausaha 1 Gapena Dr Zainal Abidin Borhan, Ketua 1 Persatuan Penulis Nasional (Pena) Datuk Baharuddin Zainal dan penulis Rejab Ismail, ketika membuat laporan tersebut. Bercakap dalam sidang media ringkas selepas membuat laporan tersebut, Ismail berkata laporan tersebut merupakan proses pertama Gapena menggunakan saluran itu. Ismail juga berkata, badan-badan gabungannya di seluruh Malaysia, akan membuat laporan yang sama berhubung pelaksanaan dasar itu di tempat masing-masing.
Beliau turut ditanya mengenai rancangan Gapena untuk mengadakan perarakan keranda - dinamakan Keranda 152 - pada hari ini (15 Februari) yang tidak menjadi kenyataan.
"Waktu kita bincang, macam-macam rancanganlah timbul. Hendak buat macam itu perlu minta izin," jelasnya. Hari ini, Gapena mengadakan program khas bagi menyatakan bantahan mereka terhadap PPSMI melalui bacaan sajak dan pidato tokoh dan aktivis bahasa - dinamakan "Ratap Ratib Bahasa". 'Hak bahasa dan orang Melayu'Bekas pengerusi Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dan beberapa pemimpin Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) - sebuah lagi badan yang memperjuangkan pemansuhan PPSMI - turut kelihatan, termasuk pengerusinya Datuk Dr Hassan Ahmad. Abdul Aziz sebelum itu dalam ucapannya di pejabat Gapena di ibunegara berkata, hak-hak berhubung bahasa dan kedudukan orang Melayu telah pun wujud sejak zaman penjajahan British lagi. Perkara itu, kata beliau lagi, kemudiannya dimasukkan kembali ke dalam Perlembagaan Persekutuan. Menyentuh soal peluang Gapena membawa isu PPSMI ke mahkamah, Abdul Aziz berkata, dari aspek undang-undang, Gapena mempunya hujah yang kukuh untuk menuntut semakan kehakiman. "Bagaimanapun, saya bimbang kuasa menteri boleh menukar mata pelajaran Sains dan Matematik supaya tidak lagi menjadi matapelajaran teras. Menteri ada kuasa itu. (Kalau) itu (berlaku) maknanya, orang politiklah yang kena beritahu (menteri)," katanya menjawab soalan Baharuddin dalam majlis itu. Abdul Aziz yang juga pengamal undang-undang menjelaskan, sesiapa sahaja sebagai warganegara Malaysia boleh membawa perkara itu ke mahkamah. "Gapena sebagai persatuan tidak (boleh). Gapena hanya sebagai penaja, nama sahaja. Sebagai entiti yang sah, ahli-ahlinya boleh bertindak," katanya. Kira-kira 100 aktivis bahasa dan sastera hadir dalam majlis tersebut yang bermula sejak jam 9 pagi tadi.

Sumber Malaysiakini.com

Gapena menentang PPSMI

Gabungan Penulis Nasional (Gapena) tetap dengan pendiriannya untuk memansuhkan PPSMI di semua peringkat pengajian serta menuntut dikembalikan pengajaran bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan nasional

MB: Laksana PPSMI 'tidak beretika'

Jimadie Shah Othman Jun 27, 09 1:03pm
Tidak wajar sesuatu dasar pendidikan negara – seperti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) – diputuskan berasaskan emosi dan persepsi, tanpa kajian dan perancangan rapi, kata menteri besar Johor.

"Adalah salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya," kata Datuk Abdul Ghani Othman.

"Tidak ada mana-mana negara di dunia ini yang membentuk dasar pendidikannya secara mendadak, tanpa memikirkan kepentingan murid dan kesediaan guru, melainkan Malaysia."

Abdul Ghani, juga pengerusi Permuafakan Badan Ilmiah Nasional (Pembina), mengulas dasar kontroversi tersebut sewaktu merasmikan kolokium mengenai PPSMI anjuran NGO itu di Shah Alam pagi tadi.

Ucapan ringkasnya itu dibacakan oleh Pengerusi Eksekutif Pembina, Datuk Abdul Raof Hussin.

Turut hadir, Prof Diraja Ungku Aziz dan seniman Datuk Jins Samsudin.

Abdul Ghani juga berkata, Pembina berpendirian bahawa sebarang perubahan dasar pendidikan mestilah dibuat berdasarkan perancangan rapi, tidak secara tiba-tiba, serta berlandaskan fakta dan data yang sah.

Tambahnya, kajian badan tersebut – yang disokong ahli akademik dari tujuh universiti awam – mendapati PPSMI menyebabkan berlakunya "kepupusan generasi akibat bertambah ramai murid gagal (dalam matapelajaran) Sains dan Matematik" di pelbagai peringkat.

Sementara Ungku Aziz dalam ucapannya selepas itu menyifatkan masalah dalam sistem pendidikan berlaku disebabkan terlalu banyak kompromi pemimpin politik.

"Banyak pemimpin politik luar dan dalam kabinet tentu hendak mencari kompromi. Orang politik suka berkompromi. Bila banyak komporomi, dia tidak boleh berpikir dengan rasional.

"Tambahan lagi, orang politik hendak cepat. Bagi saya, jalan singkat tidak ada," katanya yang kerap bercerita dan berjenaka dalam ucapannya.

Ungku Aziz menegaskan, tindakan kerajaan memperkenalkan PPSMI enam tahun lalu sebagai "tindakan gila" kerana Matematik menggunakan "bahasa simbol" – melalui angka, nombor dan penggunaan rumus tertentu.

"Apa bahasa matematik? Bahasa simbolik, angka, semua simbol. Matematik ini bahasa simbolik. Kalau guna bahasa Inggeris untuk belajar Matematik, pilih bahasa Inggeris untuk belajar Matematik, (itu tindakan) gila.

"Kalau hendak belajar bahasa Inggeris dengan bahasa matematik, bagaimana boleh belajar?" katanya di hadapan 150 pendidik sekitar Selangor.

Selain menyokong saranan Pembina supaya PPSMI dimansuhkan di semua peringkat, Ungku Aziz mencadangkan masa pengajaran bahasa diajar secara tetap tiga hingga empat jam seminggu, selain menggunakan kaedah pembelajaran terkini.

"Masa untuk belajar bahasa tidak cukup. Itu kunci kepada semua sekali, perkara pokok sekali. Dalam sistem pembelajaran di sekolah rendah, menengah dan universiti, masa untuk belajar bahasa itu diberi sedikit sahaja.

"Pendekatannya pun salah. Banyak orang (pemegang) PhD bawa teori lapuk sepuluh tahun lalu. Dia lupa, apa dia belajar dulu orang lain sudah tukar (hari ini)," katanya.

Pembina pertama kali mengedarkan dan membentangkan kajian PPSMI mereka kepada umum hari ini. Dokumen itu pernah diedarkan kepada peserta Kongres Melayu ke-2 penghujung Mac lalu di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur.

Selain laporan itu setebal 200 halaman, dua lagi kajian berhubung pelaksanaan dasar kontroversi itu yang dihasilkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) turut dibentangkan.

Sumber : Malaysiakini.com