Wednesday, November 12, 2008

BI Sains dan Matematik, ramai resah kini

Ibha,Kota Bahru. Tue Sep 23, 08 9:28:22 am MYT
Saudara Pengarang,
Banyak telah diperkatakan mengenai pengajaran Matematik dan Sains (MS) dalam Bahasa Inggeris (BI). Kementerian Pelajaran (KP) telah memperlihatkan keresahan yang ketara.

Sebagai bekas seorang guru di Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah mengajar BI, Sejarah, Siviks dan guru kaunseling, Penolong Kanan dan Pengetua, saya rasa amat bersalah jika tidak menyatakan sesuatu mengenai hal ini.
Pertama: Ke mana arah dan hilangnya pedoman dalam 'Penyata Razak (ayah Najib)' dan Penyata 'Rahman Talib (ayah Fauzi)'?
Apakah kedua-dua penyata ini tidak bermatlamat. Inilah untuk perpaduan dalam sebuah negara bernama 'Malaysia'.
Adakah penyata tersebut ada menyatakan BI sebagai bahasa pengantar dalam mana-mana sekolah dan mata pelajaran? Inilah yang dikatakan 'melampau' bila ada suara yang bukan sahaja mempertahan pengajaran MS dalam BI malah ada yang mencadangkan pengajaran semula semua matapelajaran dalam BI,dengan kata lain kembalikan semula sekolah Inggeris!
Setelah 51 tahun merdeka, ini yang timbul. Kalau begitu kembalilah ke zaman penjajah 'baru' pula. Kita kembalikan Sekolah Melayu, Sekolah Inggeris, Sekolah Cina dan Sekolah Tamil! Barulah kita nampak dengan jelas, siapa di mana dan kemana.
Sepertilah dengan keadaan siaran berita di kaca TV sekarang, berita Melayu menghentam dan memburukkan negeri-negeri di perintah pembangkang dan ahli-ahli pembangkang, berita Cina memfokuskan perniagaan dan Negeri Cina manakala berita Tamil memfokuskan keadaan orang India dan negeri India.
Kedua: Guru yang diarah untuk mengajar MS adalah berkelulusan melalui pembelajaran di sekolah rendah, menengah, universiti, maktab, diploma menggunakan bahasa Melayu (rujuk artikal dalam Harakah bil:1376 - ms F11).
Macamana boleh ini tidak terfikir oleh perancang di KP yang saya tahu amat profesional! atau mungkin mereka terpaksa atau dipaksa aataupun 'bermuka-muka' kesian guru-guru yang 'terpaksa' menerima imbuhan(rasuah) elaun 10%/5% kerana mengajar MS dalam BI!
Guru Bahasa Inggeris pula dibebani untuk mengajar, membimbing, menguji guru MS, tugas hakiki mereka untuk mengajar BI kepada kumpulan sasar sebenar iaitu 'pelajar' sedikit sebanyak amat terjejas. Mereka juga digula-gulakan dengan elaun 10/5%! Mereka ada kesatuan tetapi 'tutup mulut'dan individu pula dengan sikap 'pegawai kerajaan' yang 'taat di bawah perintah' itulah hakikatnya.
Ketiga: Pelajar, adalah golongan yang bakal mewarisi kita. Kalau diimbas kembali pendapat-pendapat mengenai isu ini rata-rata datangnya dari golongan elit, atau paling tidak berada di bandar. Ini termasuklah pekan kecil Kota Bharu, Bandaraya Kuala Terenggnu juga ibu kota kesayangan semua Kuala Lumpur.
Adakah mereka ini pernah tinggal sekurang-sekurangnya 'sebulan' di Kota Belud, Paloh, Ulu Tembeling, Kuang dan Rengit(bukan Batu Pahat)?
Pengalaman saya di empat buah negeri di Malaysia sudah cukup untuk saya berfikir bahawa 'perpaduan' adalah mesti melalui 'bahasa kebangsaan'.
Data yang menyatakan hanya 30% sahaja yang tidak dapat menguasai BI dalam pengajaran MS perlu disemak semula!
Kalau diukur dari kejayaan bekas produk pengantar bahasa kebangsaan ini, mereka telah juga berjaya, di dalam 'the Star' umpamanya ada berbagai pendapat dan ulasan: antara yang menyokong kekal dengan BI, menyebut hasil dari dirinya melalui 'Remove Class'. Saya juga dari produk itu tetapi siapa dia, dan siapa saya.
Ada jua yang merasai kita telah banyak 'berbelanja' untuk lima tahun yang lalu. Habis, berpadukah kita sekarang? Adakah kita sanggup untuk terus mengabaikan generasi yang kalau diizinkan akan mewarisi kita beratus malah beribu tahun lagi ke hadapan. Kalau berbilion RM boleh hanyut begitu sahaja, angka ini amat kecil untuk ikut serta!
Ulasan 'kejayaan' melalui sistem ini adalah seorang yang amat berjaya di Australia (the Star) serta siapa yang sedang memegang jawatan tertinggi dalam apa bidang sekalipun, mereka termasuklah yang bukan sahaja memiliki PhD dari universiti-universiti terkemuka di luar negara tetapi yang mendapat pengiktirafan bertaraf dunia!
Kalau mereka telah berjaya melalui sistem kebangsaan ini, mengapa perlu sangat kita berubah ke sistem yang 'menghancurkan' majoriti generasi kita. Ingat, tidak semua orang Malaysia akan ke United Kingdom, ke USA. Ada yang hendak ke Jepun, Perancis, Mesir, Russia atau tetap tak keluar Malaysia pun! - mks. _

Sumber : Harakah Daily

Tak jejas prestasi UPSR

Oleh Khairul Anuar Abdul Samadkrull@bharian.com.my
SERAMAI 19 pelajar Tahun Enam yang mendapat 5A dalam UPSR menerima habuan wang tunai RM100 daripada pihak sekolah dan PIBG SK Sultan Ismail IV Kota Bharu, semalam.
Selepas enam tahun Matematik, Sains diajar dalam bahasa Inggeris halang calon KOTA BHARU: Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 yang diumumkan semalam membuktikan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak 2003, tidak menjejaskan prestasi murid. Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, berkata daripada 511,875 sampel calon, 159,234 pelajar atau 31.1 peratus menjawab soalan Sains dalam bahasa Inggeris, berbanding 1,324 pelajar (2007) dan 1,035 pelajar (2006), manakala 108,842 pelajar (21.3 peratus) menggunakan campuran bahasa ibunda, Melayu dan Inggeris.

Seramai 238,153 pelajar atau 46.6 peratus pula menjawab soalan Matematik dalam bahasa Inggeris dan 39,570 pelajar atau 7.7 peratus menggunakan bahasa ibunda, Melayu dan Inggeris. “Walaupun jumlah murid yang memperoleh 5A dalam UPSR kali ini menurun, mereka yang memperoleh 4A meningkat manakala calon gagal berkurangan. Secara keseluruhannya, keputusan UPSR tahun ini OK. “Tidak ada keputusan melonjak tinggi atau menurun secara serius, sekali gus menunjukkan selepas enam tahun pelaksanaan PPSMI, ia tidak menjejaskan prestasi murid," katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas Sekolah Kebangsaan (SK) Paloh, Pintu Geng di sini, semalam.

Seramai 518,616 calon menduduki UPSR tahun ini dan mereka adalah kumpulan pertama yang terbabit dalam PPSMI sejak Tahun Satu. Hishammuddin berkata, sebelum ini sekolah yang gagal biasanya di pedalaman atau luar bandar serta daif, tetapi tahun ini sekolah di kawasan berkenaan turut mencatat kejayaan. “Ini menunjukkan agenda merapatkan jurang digital tercapai, sekali gus menjayakan matlamat saya untuk ‘meratakan padang permainan’ tadi,” katanya. Beliau bagaimanapun berkata, sama ada PPSMI akan terus dilaksanakan bukan semata-mata bergantung kepada keputusan peperiksaan itu kerana ia memerlukan perbincangan dan kajian menyeluruh.
"Kementerian sedang meneliti keputusan UPSR dan akan dibentangkan ke mesyuarat meja bulat sebelum sebarang kata putus dibuat. Kita mengambil pendekatan yang realistik dengan mendengar pandangan semua pihak, antaranya ahli akademik serta ahli politik termasuk pembangkang. "Saya tidak mahu bersandarkan kepada emosi atau rasional yang tidak berpijak di bumi nyata dalam membuat keputusan mengenai PPSMI kerana yang akan menjadi mangsa adalah anak kita nanti," katanya.

Keputusan bagaikan sudah diduga

Keputusan UPSR lebih baik
Oleh THOMAS CHONG
Hishammuddin Tun Hussien (kiri) beramah mesra dengan sebahagian murid-murid yang hadir pada majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas Sekolah Kebangsaan Paloh Pintu Gang di Kota Bharu, semalam.– Bernama
PUTRAJAYA 13 Nov. – Seramai 46,641 atau 9.2 peratus daripada 518,616 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, keputusan itu adalah lebih baik berbanding purata 7.8 peratus calon yang mencapai keputusan sama untuk tempoh lima tahun sebelumnya.
‘‘Sebanyak 317,404 calon (62.7 peratus) mendapat minimum gred C dalam semua mata pelajaran berbanding purata 60.5 peratus untuk tempoh 2003-2007.
‘‘Seramai 488,567 pelajar atau 96.3 peratus daripada jumlah calon pula mencapai tahap literasi yang dikehendaki berbanding purata 95.7 peratus untuk lima tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Alimuddin berkata, hanya terdapat empat mata pelajaran yang mencatatkan penurunan dari segi jumlah pelajar yang mendapat A iaitu Matematik, Bahasa Inggeris SJK, Bahasa Cina (pemahaman) dan Bahasa Tamil (pemahaman).
Menurutnya, lima mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu (penulisan) Sekolah Kebangsaan (SK), Bahasa Inggeris SK, Bahasa Melayu (pemahaman) Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), Bahasa Cina (penulisan) dan Bahasa Tamil (penulisan) pula mencatatkan peningkatan yang signifikan dari segi jumlah pelajar yang mendapat gred A.
‘‘Dari segi pelajar yang memperoleh minimum gred C pula, mata pelajaran yang mencatatkan peningkatan signifikan ialah Bahasa Melayu (penulisan) SJK dan Bahasa Inggeris SK.
‘‘Tiada satu pun mata pelajaran yang mencatatkan penurunan yang signifikan dari segi jumlah pelajar yang mencapai gred A hingga C,” katanya.
Dalam pada itu, lebih separuh daripada jumlah calon pelajar berkenaan menggunakan bahasa Inggeris bagi menjawab peperiksaan Sains dan Matematik.
Daripada 511,875 sampel yang diambil, 159,234 (31.1 peratus) calon menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam menjawab soalan Sains.
Alimuddin berkata, keputusan di kalangan calon orang kurang upaya (OKU) turut mencatatkan peningkatan memberangsangkan tahun ini.
‘‘Sebanyak 1.27 peratus daripada jumlah calon terencat akal memperoleh A dalam semua mata pelajaran berbanding hanya 1.19 peratus pada tahun lalu.
‘‘Jumlah calon buta yang mendapat semua A pula meningkat daripada kosong kepada 3.33 peratus. Calon cacat lain daripada kosong kepada 0.33 peratus, calon rabun daripada kosong kepada 1.33 peratus dan calon spastik daripada 1.23 peratus kepada 4.26 peratus.
‘‘Calon bisu yang mendapat A dalam semua mata pelajaran, bagaimanapun, menurun daripada 66.67 peratus kepada 50 peratus manakala masih tiada calon pekak yang mendapat semua A pada tahun ini,” katanya.
Ditanya mengapa analisis keputusan keseluruhan UPSR tahun ini dibandingkan dengan keputusan purata lima tahun lalu dan bukan dengan keputusan tahun lepas, Alimuddin berkata, perbandingan dengan lima tahun lepas dapat memberikan gambaran yang lebih menyeluruh dan tepat.
‘‘Selain itu, tahun 2003 juga merupakan tahun di mana kita memulakan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris,” katanya

Sumber: Utusan Online

Keputusan UPSR 2008

9.2 peratus calon dapat semua A dalam UPSR
13/11/2008 11:43am
PUTRAJAYA 13 Nov. - Seramai 46,641 atau 9.2 peratus daripada 518,616 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimudin Mohd. Dom berkata, keputusan tersebut adalah lebih baik berbanding purata 7.8 peratus yang mencapai keputusan yang sama untuk tempoh lima tahun sebelumnya.
Beliau berkata, Gred Purata Kebangsaan (GPK) untuk tahun ini juga bertambah baik pada pointer 2.36 berbanding purata 2.39 untuk tempoh lima tahun lepas.
``Pencapaian keseluruhan UPSR tahun ini adalah lebih baik daripada lima tahun sebelumnya dengan 46,641 (9.2 peratus) calon mendapat A dalam semua mata pelajaran manakala 317,404 calon (62.7 peratus) mendapat minimum gred C dalam semua mata pelajaran.
``Seramai 488,567 calon atau 96.3 peratus daripada jumlah calon telah mencapai tahap literasi yang dikehendaki berbanding purata 95.7 peratus untuk lima tahun lalu,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. - Utusan Online

Sumber: Utusan Online