Monday, September 22, 2008

Kesilapan dasar pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris

Ainon Mohd
Thu May 15, 08 4:50:34 pm MYT
"Dasar yang memaksa budak-budak miskin belajar bahasa Inggeris sambil belajar matematik dan sains adalah ibarat memaksa budak-budak miskin itu belajar berenang sambil memanjat pokok kepala." Iklan



Cara dan pedagogi mengajarkan bahasa Inggeris adalah amat berlainan daripada cara dan pedagogi mengajarkan logik matematik.

Ia juga amat berbeza dengan pedagogi mengajarkan maklumat sains dan mengajarkan kemahiran berfikir saintifik.

Orang politik di Kementerian Pelajaran nampaknya sudah sedar perkara asas ini. Angin kencang sedang bertiup mengatakan dasar bahasa penghantar itu akan dibetulkan semula.

Pada saat ini para penerbit buku-buku teks sekolah sedang bersiap sedia, menunggu sahaja, bila-bila masa jikalau kerajaan tiba-tiba membuat pengumuman Bahasa Melayu akan dikembalikan menjadi bahasa pengantar mata pelajaran matematik dan sains di sekolah.

Masing-masing sudah mula mendapatkan penulis-penulis buku teks mereka supaya mula menyediakan manuskrip Bahasa Melayunya.

Sebagaimana yang dijangka, yang paling kuat menentang nanti adalah golongan berpendidikan Inggeris yang tinggal di bandar-bandar besar, tanpa mengira kaum. Baca apa mereka kata di sini.

Golongan kaya yang tinggal di bandar-bandar, baik mereka itu Cina, baik India, baik Melayu, Iban dan Kadazan, mereka mahukan bahasa Inggeris.

Golongan kaya adalah golongan yang terputus hubungan daripada golongan miskin dalam bandar, dan dengan penduduk di luar bandar.

Cina-cina kaya di bandar tidak peduli apa yang dialami oleh Cina-cina miskin di pekan-pekan kecil. India kaya di bandar tidak peduli apa yang berlaku dalam estet-estet. Begitu juga Melayu, Iban dan Kadazan kaya yang tinggal di bandar.

Golongan kaya hanya memikirkan diri mereka sahaja.

Golongan kaya adalah golongan bermentaliti kolonial.

Golongan kaya masih tidak sedar bahawa bahasa Inggeris telah, dan masih terus gagal memandaikan golongan miskin dalam bandar dan penduduk luar bandar di India, di Pakistan, di Bangladesh, di Sri Lanka, dan di seluruh benua Afrika, serta di Myanmar dan di Filipina.

Golongan kaya tidak sedar bahawa semua negara terkaya di dunia menggunakan bahasa masing-masing bagi mengajarkan sains dan matematik kepada kanak-kanak mereka.

Golongan kaya masih tidak sedar bukan sahaja bahasa Inggeris, malah bahasa-bahasa Sepanyol, Peranchis, German, Rusia, China, malah bahasa Arab juga, telah gagal memandaikan golongan miskin dan penduduk luar bandar, di mana-mana sahaja bahasa-bahasa kolonial itu dipaksakan ke atas bangsa-bangsa yang mereka jajah.

Golongan kaya yang menyokong bahasa Inggeris itu tidak membaca peta taburan kemiskinan di dunia, oleh itu mereka tidak tahu kaitan antara kemiskinan dan penggunaan bahasa kolonial dalam sistem pendidikan di negara-negara miskin itu.

Pedagogi pengajaran bahasa teramat berbeza daripada pedagogi pengajaran sains dan matematik.

Tidak ada sesiapa yang waras daya inteleknya yang menentang pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa asing, bukan hanya bahasa Inggeris.

Malaysia mesti mengajarkan bahasa-bahasa asing itu dengan menggunakan strategi betul, sebab manfaatnya amat banyak. Tubuhkan universiti bahasa-bahasa asing (university of foreign languages seperti di China, Korea dan Jepun).

Sekolah-sekolah Malaysia hendaklah menawarkan subjek mata pelajaran bahasa-bahasa asing yang penting di dunia, bukan hanya bahasa Inggeris.

Kita mesti menawarkan subjek bahasa Mandarin di semua sekolah di negara ini sebab bahasa Mandarin akan, dan sedang, menjadi bahasa ekonomi dunia yang paling penting. - mr_

Sumber : Harakah Daily

Dua Lagi Perbincangan Isu Pembelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris

16 September, 2008 17:22 PM



KUALA TERENGGANU, 16 Sept (Bernama) -- Dua lagi perbincangan meja bulat berhubung pelaksanaan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris akan diadakan, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail.

Beliau berkata perbincangan pertama akan membabitkan guru-guru dan wakil pelajar dari pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) dan wakil institut pendidikan guru.

"Perbincangan seterusnya pula akan membabitkan ahli politik yang dipilih dari seluruh negara," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Razali yang juga Anggota Parlimen Kuala Terengganu, berkata kedua-dua perbincangan itu adalah bagi memberi satu perspektif yang luas sebelum satu dasar dapat dilaksanakan.

Keputusan sama ada pelaksanaan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris akan diumumkan Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akhir tahun ini atau awal tahun depan, katanya.

Razali berkata semua pihak seperti agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan ibubapa dan IPT perlu memikirkan kebaikan dan keburukan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris.

"Setakat ini dua rundingan meja bulat membabitkan pegawai di Kementerian Pelajaran telah dijalankan dan lebih 16 penyelidikan telah dibentangkan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa.

"Hasil lawatan ke beberapa negeri di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak baru-baru ini mendapati pemahaman murid dalam bahasa Inggeris semakin positif. Selain itu, guru-guru yang terbabit juga menunjukkan peningkatan prestasi dan kesungguhan mereka," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pandangan dan pendapat daripada pelbagai pihak untuk pelaksanaan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris terus dialu-alukan.

Ia bagi membolehkan Kementerian Pelajaran membuat satu rumusan dan keputusan yang tepat sama ada untuk melaksanakannya atau tidak, tambah beliau.

-- BERNAMA

Keputusan muktamad isu Sains, Matematik Disember

18/09/2008

Oleh ROKIAH ABDULLAH

PULAU PINANG 17 Sept. - Kementerian Pelajaran sedang mengumpul pandangan daripada pelbagai pihak sebelum keputusan muktamad sama ada mengekalkan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dibuat pada Disember ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, ini kerana pandangan dan idea daripada orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional, pensyarah, guru dan pelajar perlu diambil kira sebelum sesuatu polisi dilaksanakan.

''Keputusan mengenai perkara itu akan diumumkan oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selepas keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 akhir tahun ini.

''Sebelum sebarang keputusan atau polisi dibuat, kita memerlukan lebih banyak pandangan.

''Usaha ini perlu dilakukan dan diperhalusi kerana kita tidak mahu mengorbankan masa depan anak-anak kita. Mereka ini pewaris kepimpinan akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Beban Tugas Guru anjuran Majlis Permuafakatan Kesatuan dan Persatuan Guru di seluruh negara di Batu Feringghi di sini hari ini.

Seramai 72 wakil daripada 24 Kesatuan dan Persatuan Guru dari seluruh negara menghadiri mesyuarat selama tiga hari yang bermula semalam.

Kementerian Pelajaran juga, katanya sentiasa bersikap terbuka untuk mendengar setiap pandangan bagi memastikan pelaksanaan keputusan itu menguntungkan semua pihak.

Justeru, katanya, dalam usaha mengumpul lebih banyak pandangan, Kementerian Pelajaran akan mengadakan dua lagi siri persidangan meja bulat, Jumaat ini melibatkan guru sekolah rendah dan menengah serta pegawai kementerian dan jabatan Pelajaran.

''Persidangan seterusnya akan diadakan pada bulan Oktober melibatkan ahli politik sama ada dari pembangkang atau pihak kerajaan.

''Sebanyak 22 kertas kajian dan pemantauan telah dibentangkan di dalam dua persidangan meja bulat sebelum ini yang diadakan pada Julai dan Ogos lalu," katanya.

Sementara itu, Razali mendedahkan kira-kira 35 peratus guru yang mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik di seluruh negara dikenal pasti tidak boleh menguasai bahasa Inggeris.

Katanya, masalah itu dikesan melalui satu kajian yang dijalankan oleh pihak kementerian di beberapa sekolah terpilih baru-baru ini.

''Apabila murid-murid mempunyai potensi untuk belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, sesetengah guru pula menghadapi masalah untuk menguasai bahasa itu dengan baik.

''Ia akan memberi kesan negatif kepada murid yang memerlukan bimbingan untuk menguasai bahasa Inggeris," katanya.

Sumber : Utusan online

Tetapkan hala tuju Sains, Matematik

17/09/2008


Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
(WARTAWAN UTUSAN)

KEPUTUSAN Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 yang akan diumumkan hujung tahun ini tidak hanya mengundang debar di kalangan pelajar yang menduduki peperiksaan itu, tetapi juga seluruh warga yang terlibat dalam sektor pendidikan.

Ini kerana selepas pengumuman keputusan UPSR itu, kerajaan akan membuat keputusan sama ada mahu mengekalkan dasar pengajian bahasa Inggeris bagi subjek Matematik dan Sains atau sebaliknya, berdasarkan penilaian pencapaian pelajar dalam peperiksaan itu sejak enam tahun lalu.

Polemik mengenai perlaksanaan dasar pendidikan itu tidak pernah sunyi daripada diperdebatkan sejak ia mula diperkenalkan pada 2003, dengan kebanyakan daripadanya membantah kerana dikatakan menyebabkan pelajar terutama pelajar Melayu tercicir akibat gagal menguasai bahasa Inggeris.

Mereka yang menentang dasar itu juga mengaitkannya dengan jati diri dan semangat nasionalisme, apabila pengajaran dalam bahasa Inggeris dilihat membelakangkan bahasa Melayu sebagai sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan.

Suara-suara yang menyokong perlaksanaan dasar itu pula mempertahankannya dengan menyatakan ia langkah terbaik dalam mempersiapkan generasi hari ini kepada cabaran pembangunan negara yang lebih hebat pada masa depan.

Apatah lagi mengenangkan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dunia, dan peranan serta kepentingannya dalam arus modenisasi hari ini, adalah wajar satu langkah diambil untuk meningkatkan penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar dengan lebih berkesan.

Pastinya dalam menimbangkan pro dan kontra serta impak negatif dan positif daripada perlaksanaan dasar pendidikan itu, kerajaan akan mengambil kira pelbagai faktor sebelum mengambil keputusan seperti yang bakal diumumkan hujung tahun ini.

Namun biar apa pun keputusannya nanti, adalah diharapkan ia tidak secara mudah menafikan peranan dan kepentingan dasar pendidikan itu apatah lagi apabila menyentuh mengenai hasrat untuk melahirkan generasi berkualiti dan mampu bersaing pada masa depan.

Sekalipun tidak dinafikan dasar itu mendapat sekian banyak kritikan, tetapi ia tidak boleh disimpulkan sebagai satu kegagalan, sementelah sepenggal perlaksanaannya masih terlalu baru.

Lalu dalam usia yang boleh disifatkan setahun jagung itu, sudah menjadi resam jika terdapat cacat cela di mana-mana, namun ia bukanlah bermaksud dasar pendidikan itu gagal sama sekali, cuma memerlukan sedikit ruang untuk diperbaiki.

Seperti yang dijelaskan oleh pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, perlaksanaan dasar pendidikan itu meskipun diakui tidak berjaya sepenuhnya dan berdepan dengan pelbagai masalah terutama di peringkat sekolah, namun wajar dipertahankan dalam konteks pembangunan kemahiran pelajar secara jangka masa panjang.

Justeru katanya, apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan ketika ini ialah menilai semula dasar tersebut dan menambah baik terutama dari sudut perlaksanaannya dengan beberapa pilihan lain yang lebih sesuai.

Beliau menambah, kerajaan dalam memperbaiki dasar itu juga perlu mempunyai perancangan yang spesifik dengan memberikan tumpuan kepada setiap kumpulan sasar pelajar seperti pelajar di bandar, di luar bandar, pelajar Melayu, Cina dan India serta di kalangan pelajar orang asli.

Dalam usaha itu, kerajaan sewajarnya memberi kepercayaan sepenuhnya kepada kumpulan akademik dan pakar pendidikan yang pastinya mempunyai pandangan dan kaedah yang lebih baik dalam menilai keberkesanan dasar tersebut sepanjang perlaksanaannya.

''Apa yang penting, dasar ini tidak seharusnya dilihat dari sudut politik, perkauman atau cubaan untuk menghakis jati diri bangsa dan budaya kebangsaan.

''Sebaliknya ia harus diterima sebagai satu persediaan kepada negara dalam mempersiapkan generasi akan datang untuk menempuh masa depan negara yang lebih mencabar," katanya.

Anuar menambah, dasar pengajian dalam bahasa Inggeris yang dilaksanakan ketika ini berdepan dengan kekeliruan kokurikulum apabila ilmu bahasa dicampuradukkan dengan ilmu matematik dan sains.

Walaupun merentasi kokurikulum, namun bagi kumpulan pelajar yang agak lemah dalam menguasai pelajaran, akan berdepan dengan kesukaran untuk menguasai ketiga-tiga ilmu itu dalam satu kelas yang sama.

Untuk itu, pelajar-pelajar perlu terlebih dahulu perlu dipastikan menguasai bahasa Inggeris di peringkat asas seperti mengikuti kelas khas sebelum subjek Matematik dan Sains digabungkan dalam pelajaran mereka.

Seperkara yang tidak boleh dilepas pandang dalam membincangkan mengenai keberkesanan perlaksanaan dasar pendidikan itu juga ialah peranan guru dalam memastikan pelajar benar-benar menguasai subjek tersebut.

Bukanlah bermaksud untuk mempertikai usaha guru yang sememangnya diketahui sanggup berkorban apa sahaja untuk kecemerlangan anak muridnya, namun adakah dalam peranan yang satu ini, usaha guru itu sudah sampai ke tahap yang sudah boleh dibanggakan?

Daripada pengalaman penulis sendiri yang pernah bergelar seorang pelajar, melainkan guru bahasa Inggeris, guru-guru subjek lain termasuklah guru Matematik dan Sains sangat jarang berbahasa Inggeris di sekolah.

Sedangkan hakikatnya, kejayaan dasar pendidikan itu bergantung sepenuhnya kepada kemampuan guru-guru dalam menguasai bahasa Inggeris, sebelum dapat mendidik pelajar-pelajar mereka.

Namun cabaran untuk menguasai bahasa Inggeris bagi guru itu sendiri bukanlah sesuatu yang mudah. Baik guru yang baru tamat pengajian di universiti, mahupun guru yang sudah bertahun-tahun mengajar, beralih menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajian yang selama ini sudah terbiasa dalam bahasa Melayu memerlukan pengorbanan, kesabaran dan kreativiti yang cukup besar.

Bertambah besar cabarannya bagi guru yang mengajar di luar bandar dan juga komuniti Orang Asli. Dengan penerimaan pelajar-pelajar yang sudah tentunya kekok, serta ibu bapa yang tidak benar-benar memahami, bukanlah sesuatu yang sukar untuk seorang guru berasa berputus asa. Dalam situasi seperti ini pelajarlah yang akan menanggung kerugian, dan guru serta dasar pendidikan itu pula akan dipersalahkan.

Perlu diakui kerajaan dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru yang mengajar kedua-dua subjek ini tampil dengan pelbagai inisiatif seperti elaun khas atau kursus dan banyak lagi.

Namun apalah yang termampu diubah oleh sekian banyak inisiatif itu jika guru berkenaan sendiri tidak mempunyai kesediaan yang tinggi untuk memperbaiki kemahiran berbahasa Inggeris sesuai dengan peranan mereka sebagai tunjang dalam menjayakan misi dasar pendidikan tersebut.

Di sinilah Anuar melihat Kementerian Pelajaran perlu lebih teliti dalam pemilihan guru untuk kedua-dua subjek tersebut. Menyifatkan kejayaan memilih guru yang benar-benar menguasai bahasa Inggeris mampu menyelesaikan separuh daripada masalah itu, beliau menambah, ia boleh dilakukan secara menilai semula latihan dan kursus perguruan sama ada di maktab atau universiti supaya mampu melahirkan guru yang menguasai sepenuhnya bahasa Inggeris. Daripada pengalaman beliau sendiri berdepan dengan bakal-bakal guru, masih ramai yang gagal berkomunikasi bahasa Inggeris dengan baik meskipun di kalangan guru lepasan jurusan Pendidikan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).

Ketika ditanya adakah wajar untuk dasar pengajian itu ditangguhkan untuk sementara sehingga masalah yang dikenal pasti dapat diselesaikan, Anuar berpendapat, tindakan itu ibarat mengambil langkah ke belakang.

Lebih lanjut beliau menjelaskan, kejayaan satu dasar apatah lagi membabitkan kemahiran seperti penguasaan bahasa Inggeris memerlukan usaha berterusan sehingga mampu menjadi budaya terutamanya di kalangan pelajar.

Justeru katanya, adalah tidak wajar sekiranya dasar tersebut dihentikan tanpa kerajaan tampil dengan pelan yang lebih baik sementelah pihak yang selama ini menentang dasar itu juga tidak tampil dengan rancangan yang lebih berkesan atau setanding dengan apa yang dilaksanakan kerajaan.

Bagaimanapun katanya, sekiranya tekanan terhadap pencapaian pelajar terus dipersoalkan, kerajaan dalam usaha memperbaiki dasar tersebut boleh menyusun semula pengajian bahasa Inggeris itu secara selektif sama ada hanya untuk subjek Matematik atau Sains, atau hanya melibatkan beberapa silibus dalam mata pelajaran berkenaan.

Apa pun pembaharuan yang bakal dilakukan dalam dasar itu katanya, tidak seharusnya membelakangkan matlamat melahirkan pelajar yang cemerlang yang mampu untuk bersaing dan berada dalam mana-mana segmen pembangunan negara pada masa depan.

Beliau turut menarik perhatian terhadap situasi yang berlaku hari ini terutamanya di kalangan pelajar Melayu yang gagal menempatkan diri dalam sektor korporat dan swasta semata-mata kerana gagal menguasai bahasa Inggeris meskipun menamatkan pengajian dengan pencapaian yang membanggakan.

Sumber : Utusan online

Tuesday, September 16, 2008

Matematik, Sains disyor dalam bahasa Malaysia

KUALA LUMPUR: Sebanyak 38 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak kerajaan melaksanakan semula pengajaran subjek Sains dan Matematik serta subjek lain dalam bahasa Malaysia kecuali bagi subjek bahasa pilihan. Ini berikutan kegagalan 146,000 murid sekolah negara ini memahami aspek asas subjek Sains dan Matematik yang diajar menerusi sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Ahli Jawatankuasa Kerja Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Prof Datuk Dr Zainal Kling, berkata laporan keputusan peperiksaan serta kajian yang dibuat beberapa pihak mendapati 30 peratus murid sekolah ternyata gagal memahami langsung subjek Sains dan Matematik yang diajar menerusi sistem PPSMI.

"Tahun lalu saja, 146,000 atau 30 peratus murid yang mengambil peperiksaan awam menjadi mangsa PPSMI apabila mencatat gred D dan E bagi subjek Sains dan Matematik. Kebanyakan mereka gagal memahami aspek paling asas subjek berkenaan dan ini menjadi beban kepada mereka sehingga ke sekolah menegah. "Satu memorandum akan dihantar kepada Kementerian Pelajaran minggu depan mengenai resolusi yang dicapai pada persidangan ini," katanya selepas persidangan meja bulat NGO berkenaan.

Sebelum ini, beberapa pihak turut menggesa kerajaan mengembalikan semula penggunaan bahasa Melayu bagi menggantikan PPSMI yang dilaksanakan sejak 2003, jika ia gagal mencapai matlamat. Zainal berkata, jika kerajaan tidak memandang serius perkara ini, ia akan mengakibatkan jurang lebih ketara antara masyarakat bandar serta luar bandar.

Sains, Matematik dalam bahasa Inggeris perlu dinilai semula

DESAKAN 38 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya kerajaan melaksanakan semula pengajaran subjek Sains dan Matematik serta subjek lain dalam bahasa Melayu kecuali bagi subjek bahasa pilihan perlu diberi perhatian serius. Ini berikutan kegagalan 146,000 murid sekolah negara ini memahami aspek asas subjek Sains dan Matematik yang diajar menerusi sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Malah, laporan keputusan peperiksaan serta kajian oleh beberapa pihak mendapati 30 peratus murid gagal memahami langsung subjek Sains dan Matematik yang diajar menerusi sistem PPSMI. Tahun lalu saja, 146,000 atau 30 peratus murid yang mengambil peperiksaan awam menjadi mangsa PPSMI apabila mencatat gred D dan E bagi subjek Sains dan Matematik. Kebanyakannya gagal memahami aspek paling asas subjek berkenaan dan ini menjadi beban kepada mereka sehingga ke sekolah menegah. Sebelum ini, beberapa pihak turut menggesa kerajaan mengembalikan semula penggunaan bahasa Melayu bagi menggantikan PPSMI, yang dilaksanakan sejak 2003, jika ia gagal mencapai matlamat. Kita percaya masalah ini, jika dibiarkan berterusan akan turut menyebabkan jurang lebih ketara antara masyarakat bandar dengan luar bandar. Malah, semakan audit terhadap Laporan Kajian Penilaian Pelaksanaan Program PPSMI mendapati penguasaan bahasa Inggeris majoriti guru Sains dan Matematik di sekolah rendah dan menengah masih rendah. Kajian yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran pada tahun lalu itu bertujuan mengumpul maklumat mengenai status kesediaan guru dan pelajar bagi program PPSMI. Kerana itu, kerajaan perlu menimbang mengembalikan semula pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik menggunakan bahasa Melayu bagi memartabatkan serta memperkasakannya sebagai bahasa dunia. Penggunaan bahasa Inggeris gagal menunjukkan kejayaan, sebaliknya merugikan orang Melayu. Malah, hasil kajian sekumpulan pendidik sebelum ini mendapati 87.7 peratus murid Melayu tidak dapat menguasai bahasa Inggeris. Sudah banyak negara berusaha mendaulatkan bahasa asing, tetapi akhirnya gagal dengan bangsa yang diciplaknya. Contohnya, negara Afrika yang menggunakan bahasa asing sebagai bahasa pengantar di sekolah, tidak juga mencapai kemajuan besar. Sebaliknya, negara yang mendaulatkan bahasa sendiri termasuk Jepun, Korea, Perancis, China dan Jerman, maju dalam pelbagai bidang termasuk sains dan matematik. Kalau kita mahir dalam bahasa Jerman, kita kena ambil kursus bahasa berkenaan dan konsepnya sama dengan PPSMI iaitu kita perlu belajar bahasa Inggeris itu sendiri, tetapi bukan menerusi Sains atau Matematik.

Keputusan bahasa 2 subjek Disember

Bergantung hasil rundingan meja bulat, prestasi UPSR tahun ini: Hishammuddin SUNGAI PETANI: Kementerian Pelajaran menetapkan hujung tahun ini bagi memutuskan sama ada mahu mengekalkan pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris atau menukarnya kepada bahasa Melayu. Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bagaimanapun berkata keputusan itu bergantung kepada hasil rundingan meja bulat yang sedang berjalan ketika ini serta berdasarkan prestasi pencapaian pelajar dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Katanya, kementerian menerima desakan berterusan daripada pelbagai pihak sama ada mahu mengekalkan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris atau kembali kepada bahasa Melayu. "Kementerian juga sudah mengadakan dua kali perbincangan meja bulat bersama pensyarah dengan 16 kertas kerja dibentangkan dan sekarang pun ia masih berjalan. "Kita sedang mencari masa yang sesuai bagi mengumumkan penyesuaian kepada kehendak semua pihak selepas keputusan UPSR diumumkan akhir tahun ini.

Sumber : Berita Harian

BM sesuai ajar Sains, Matematik

PADA 13 September lalu, berlangsung Siri Wacana Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) selama dua jam membincangkan mengenai pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Dilaporkan ada 44 wakil dari universiti dan 32 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (Perspektif) dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mendesak agar bahasa kebangsaan dikembalikan semula dalam subjek berteraskan Sains dan Matematik pada semua peringkat pendidikan. Ketetapan juga dibuat supaya Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meletak jawatan jika gagal berbuat demikian.

Ini reaksi siri Persidangan Meja Bulat oleh Kementerian Pelajaran membabitkan pelbagai lapisan masyarakat yang dilihat cenderung meneruskan dasar PPSMI walaupun hakikatnya mendapat bantahan banyak pihak. Walhal, banyak kajian akademik dari dalam dan luar negara serta pengalaman negara kita sendiri sepanjang sebelum dasar ini dijalankan termasuk sistem yang diguna pakai pada peringkat antarabangsa membuktikan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan bukanlah kayu ukur mutlak untuk membijaksanakan rakyat. Kebimbangan banyak pihak terutama di kalangan ahli akademik ada kewajarannya. Tambahan pula, mereka bercakap atas dasar ilmiah berpandukan pemerhatian dan kajian, bukannya emosi apatah lagi anggapan dangkal semata-mata. Jika pendapat golongan bijak pandai itu masih enggan juga diterima, tidakkah seperti 'bodoh sombong' lagaknya?

Sejak dasar itu dilaksanakan mulai 2003, diuar-uarkan bahawa bilangan pelajar yang mendapat gred A dan lulus untuk subjek 'maut' itu bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2005 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 meningkat daripada tahun sebelumnya. Walhal, dalam mana-mana keputusan peperiksaan sekali pun keadaan ini adalah lumrah kerana sejajar dengan pertambahan calon peperiksaan. Sebaliknya, apa yang lebih penting ialah bagaimana pula nasib dan masa depan ratusan ribu pelajar kita yang terkandas dalam pelajaran disebabkan lemah atau gagal dalam subjek berkenaan? Kebolehan sebahagian mereka dalam Sains dan Matematik juga 'dicantas' oleh lemahnya penguasaan bahasa Inggeris yang masih menggunakan kaedah pedagogi kaku, sama seperti dulu. Analisis terhadap keputusan UPSR tahun lalu misalnya menunjukkan 146,861 murid dari sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan mendapat gred D dan E dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Ini belum ditambah dengan jumlah 144,028 murid yang memperoleh gred C. Tidakkah kita simpati bagaimana azabnya hampir 300,000 kanak-kanak harapan bangsa ini menelaah subjek Sains dan Matematik bermula di Tingkatan Satu tahun ini? Kesukaran memahami apa yang dipelajari akan menambahkan tekanan pelajar sehingga menjadi pemberontak, histeria, ponteng kelas dan pelbagai lagi bentuk gejala tidak sihat.
Tidakkah ini akan menjejaskan Falsafah Pendidikan Negara dan pembentukan modal insan cemerlang yang kerajaan laungkan selama ini? Isu PPSMI ini adalah masalah negara dan bukannya untuk dipolitikkan. Demi kebaikan jangka panjang bangsa Malaysia, sewajarnya PPSMI ditarik semula. Kembalikan peranan bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan negara yang sudah 51 tahun merdeka ini serentak dengan rombakan besar-besaran terhadap kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris. Hakikatnya, peruntukan berbilion ringgit untuk PPSMI ini tentunya tidak berbaloi jika kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penyampaian ilmu serta tidak kurang pentingnya peranan bahasa Melayu sebagai alat perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini, diabaikan. MOHD ARIF ATAN, Cheras, Kuala Lumpur.

Sumber : Berita Harian

Perubahan bahasa 2 subjek bermula dari Tahun Satu

PPSMI tak diubah serta-merta bagi elak kekeliruan murid PUTRAJAYA: Sebarang perubahan terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dimulakan dari tahun satu bagi mengelak kekeliruan dan masalah kepada murid yang sudah mengikuti sistem sedia ada. Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata perubahan juga tidak akan menjejaskan mana-mana pihak kerana ia tidak akan dimulakan serta-merta.

Ada orang bimbang anak mereka kena berubah (sistem) setengah jalan. Saya pun ada anak dalam sistem PPSMI. Sebagai ayah saya pun tak nak perkara ini berubah sebegitu rupa,” katanya selepas melancarkan buku Malaysia: From Traditional to Smart Schools - The Malaysian Education Odyssey, di sini semalam. Hadir sama Pengarah Urusan Oxford Fajar, Sharmini Nagulan dan Ketua Pusat Perancangan dan Polisi Pendidikan Wilayah, Al-Sarjah, Emiriah Arab Bersatu, Profesor Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid. Buku sempena ulang tahun ke-50 Oxford Fajar itu memaparkan evolusi polisi pendidikan di negara ini sejak merdeka sebagai pengiktirafan perkembangan dan kejayaan sistem pendidikan negara

Sumber : Berita Harian

Bahasa Melayu di Kembalikan

Media hari ini mengeluarkan kenyataan Menteri Pelajaran, Datuk Hishamudin Tun Hussain mengatakan bahawa kerajaan telah memutuskan pengajaran sains dan matematik akan kembali di ajar dalam bahasa Melayu pada tahun 2015. Sementera pelajar-pelajar yang sekaran akan meneruskan dasar PPSMI

Gapena Menuntut Kembalikan Pengajaran Bahasa Melayu

12 Sept 2008

Gapena telah menuntut agar dikembalikan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu. Kenyataan tersebut dikeluarkan dalam suatu sidang media oleh Prof Dr. Zainal Keling

Tuesday, September 09, 2008

Guru sains dan matematik lemah bahasa Inggeris

Kementerian pelajaran telah mengeluarkan kenyataan pada minggu lalu bahawa 35% guru-guru yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik masih lemah dalam bahasa Inggeris. Fakta ini berdasarkan suatu kajian di beberapa sekolah secara rawak