Wednesday, November 12, 2008

Tak jejas prestasi UPSR

Oleh Khairul Anuar Abdul Samadkrull@bharian.com.my
SERAMAI 19 pelajar Tahun Enam yang mendapat 5A dalam UPSR menerima habuan wang tunai RM100 daripada pihak sekolah dan PIBG SK Sultan Ismail IV Kota Bharu, semalam.
Selepas enam tahun Matematik, Sains diajar dalam bahasa Inggeris halang calon KOTA BHARU: Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 yang diumumkan semalam membuktikan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak 2003, tidak menjejaskan prestasi murid. Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, berkata daripada 511,875 sampel calon, 159,234 pelajar atau 31.1 peratus menjawab soalan Sains dalam bahasa Inggeris, berbanding 1,324 pelajar (2007) dan 1,035 pelajar (2006), manakala 108,842 pelajar (21.3 peratus) menggunakan campuran bahasa ibunda, Melayu dan Inggeris.

Seramai 238,153 pelajar atau 46.6 peratus pula menjawab soalan Matematik dalam bahasa Inggeris dan 39,570 pelajar atau 7.7 peratus menggunakan bahasa ibunda, Melayu dan Inggeris. “Walaupun jumlah murid yang memperoleh 5A dalam UPSR kali ini menurun, mereka yang memperoleh 4A meningkat manakala calon gagal berkurangan. Secara keseluruhannya, keputusan UPSR tahun ini OK. “Tidak ada keputusan melonjak tinggi atau menurun secara serius, sekali gus menunjukkan selepas enam tahun pelaksanaan PPSMI, ia tidak menjejaskan prestasi murid," katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas Sekolah Kebangsaan (SK) Paloh, Pintu Geng di sini, semalam.

Seramai 518,616 calon menduduki UPSR tahun ini dan mereka adalah kumpulan pertama yang terbabit dalam PPSMI sejak Tahun Satu. Hishammuddin berkata, sebelum ini sekolah yang gagal biasanya di pedalaman atau luar bandar serta daif, tetapi tahun ini sekolah di kawasan berkenaan turut mencatat kejayaan. “Ini menunjukkan agenda merapatkan jurang digital tercapai, sekali gus menjayakan matlamat saya untuk ‘meratakan padang permainan’ tadi,” katanya. Beliau bagaimanapun berkata, sama ada PPSMI akan terus dilaksanakan bukan semata-mata bergantung kepada keputusan peperiksaan itu kerana ia memerlukan perbincangan dan kajian menyeluruh.
"Kementerian sedang meneliti keputusan UPSR dan akan dibentangkan ke mesyuarat meja bulat sebelum sebarang kata putus dibuat. Kita mengambil pendekatan yang realistik dengan mendengar pandangan semua pihak, antaranya ahli akademik serta ahli politik termasuk pembangkang. "Saya tidak mahu bersandarkan kepada emosi atau rasional yang tidak berpijak di bumi nyata dalam membuat keputusan mengenai PPSMI kerana yang akan menjadi mangsa adalah anak kita nanti," katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home